SELAMAT DATANG KE AMIRUL MUSLIMIN

AMIRUL MUSLIMIN IALAH GELARAN YANG DIGUNAKAN OLEH SALAH SEORANG RAJA DINASTI MURABITUN YANG BERMAKSUD 'PEMIMPIN KAUM MUSLIMIN'.

Monday, July 11, 2011

Kehidupan Seorang Khalifah Islam

Umar Ibnu Abdul Aziz ialah nama yang tidak asing lagi bagi kalangan orang yang mencintai sejarah Islam dan pemimpin-pemimpinnya. Tujuan saya menulis ini ialah untuk kita berkongsi perbandingan kehidupan seorang khalifah umat Islam dengan pemerintah negara umat Islam sekarang ini.

Umar Ibnu Abdul Aziz atau lebih dikenali sebagai Umar II ialah salah seorang Khalifah Bani Umaiyah yang terkenal dengan kezuhudannya dan kejujuran dalam menjalankan amanah yang diberikan kepadanya sehingga beliau dianggap sebagai Khulafa' Ar Rasyidin ke 5 dan mujaddid abad ke 2H oleh para ulama. Umar ialah putera kepada Abdul Aziz Ibnu Marwan, saudara Khalifah Abdul Malik ibnu Marwan Ibnu Hakam, Khalifah ke 5 Bani Umaiyah. Ibunya ialah Ummu Ashim Ibnu Ashim, cucu kepada Amirul Mukminin Umar Ibnu Khattab Al Faruq.

Sejak kecil beliau hidup dalam kemewahan kerana berasal daripada keturunan pemerintah umat Islam ketika itu. Bapanya ialah seorang gabenor yang bertugas di Mesir dan ketika beliau menuntut ilmu di Madinah, beliau ditanggung perbelanjaannya oleh bapa saudaranya, Abdul Malik Ibnu Marwan. Beliau membesar sebagai pemuda yang sopan dan suka bergaya sehingga memikat ramai wanita tetapi ditakdirkan beliau bertemu jodoh dengan sepupunya sendiri, Fatimah Ibnu Khalifah Abdul Malik.

Kejujuran dan kesopanannya menyebabkan Khalifah Walid Ibnu Abdul Malik melantiknya sebagai Gabenor Hijaz tetapi dipecat selepas berkhidmat selama 2 tahun atas nasihat Hajjaj At Thaqafi. Kehidupannya sebelum dilantik sebagai khalifah tidak terlalu menarik perhatian kerana sebagai pemuda yang terbiasa hidup dalam kemewahan tidak hairan jika beliau mengamalkan gaya hidup golongan atasan. Tetapi selepas pelantikannya sebagai khalifah umat Islam, beliau telah mengamalkan cara hidup yang sangat jauh berbeza dengan kehidupannya yang dulu.

Sebaik dilantik sebagai khalifah, beliau telah berucap di hadapan kaum muslimin supaya melantik orang yang lebih baik daripada beliau tetapi kaum muslimin menyatakan kerelaan mereka untuk membaiat Umar sebagai khalifah.

Selepas mengebumikan jenazah Khalifah Sulaiman Ibnu Abdul Malik, Beliau telah berkhutbah di hadapan rakyatnya, “Wahai manusia, tiada nabi selepas Muhammad SAW dan tiada kitab selepas Al Quran, aku bukan penentu hukum malah aku pelaksana hukum Allah, aku bukan ahli bid’ah malah aku seorang yang mengikut sunnah, aku bukan orang yang paling baik dikalangan kamu sedangkan aku cuma orang yang paling berat tanggungannya di kalangan kamu, aku mengucapkan ucapan ini sedangkan aku tahu aku adalah orang yang paling banyak dosa di sisi Allah” Beliau kemudian duduk dan menangis "Alangkah besarnya ujian Allah kepadaku" sambung Umar Ibn Abdul Aziz.

Umar tidak pernah menginginkan jawatan sebagai khalifah apatah lagi memintanya tetapi Sulaiman tetap memilihnya sebagai pengganti kerana beliau sangat mengenali peribadi Umar Ibnu Abdul Aziz. Selepas berkhutbah di hadapan rakyat, beliau pulang ke rumah dan menangis lagi sehingga isterinya bertanya kepadanya, “Apa yang Amirul Mukminin tangiskan?” Beliau mejawab “Wahai isteriku, aku telah diuji oleh Allah dengan jawatan ini dan aku sedang teringat kepada orang-orang yang miskin, ibu-ibu yang janda, anaknya ramai, rezekinya sedikit, aku teringat orang-orang dalam tawanan, para fuqara’ kaum muslimin. Aku tahu mereka semua ini akan mendakwaku di akhirat kelak dan aku bimbang aku tidak dapat jawab hujah-hujah mereka sebagai khalifah kerana aku tahu, yang menjadi pembela di pihak mereka adalah Rasulullah saw’’. Isterinya juga turut mengalir air mata.

Umar juga menolak segala kemewahan milik khalifah Umaiyah terdahulu dan beliau juga tidak mahu tinggal di istana sebaliknya menetap di rumahnya yang sudah buruk. Umar juga menjual segala perhiasan dan kenderaan milik khalifah dan dimasukkan wangnya ke dalam Baitulmal. Segala haruman dan pakaian mahal miliknya juga dijual dan beliau hanya memakai pakaian yang sederhana. Makanan sehari-harinya hanya roti kering dan garam. Beliau juga tidak mempunyai pembantu rumah untuk menguruskan hal-hal rumahtangga, semuanya dilakukan sendiri oleh beliau.

Malah beliau juga telah meminta isterinya untuk memilih sama ada ingin menyerahkan segala perhiasan isterinya itu ke Baitulmal atau beliau menceraikan isterinya. Isteri Umar memilih untuk menyerahkan perhiasannya ke Baitulmal dan tinggal bersama Umar dengan kehidupan yang sederhana.

Semasa pemerintahan Umar Ibnu Abdul Aziz selama 3 tahun, merupakan zaman rahmat bagi umat Islam ketika itu kerana Umar telah memansuhkan segala cukai yang membebankan rakyat kecuali cukai yang dibenarkan syariat. Umar juga berjaya menyatukan semula empayar Islam dengan menghapuskan pemberontakan dan perpecahan kaum akibat polisi 'pecah dan perintah' khalifah-khalifah sebelumnya dengan cara mengadakan dialog dengan pihak pemberontak.


Zaman Umar juga memperlihatkan kepada dunia bagaimana Umar dalam masa hanya 3 tahun pemerintahannya mampu menjadi rakyatnya makmur dan kaya sehingga ketika itu tidak ada rakyat yang layak menerima zakat. Empayar Islam ketika itu meliputi 3 benua iaitu Afrika, Asia dan Eropah. Bayangkan Umar berjaya menghapus kemiskinan dalam masa yang begitu singkat dan meliputi pula negara yang sangat luas dan besar.

Beliau juga berjasa mengembalikan kemurnian ajaran Islam dengan menghapuskan bidaah sesat iaitu tradisi mencaci maki Sayyidina Ali RA di dalam khutbah Jumaat, menghapuskan jizyah terhadap kaum bukan Arab yang telah memeluk Islam dan menguatkuasakan undang-undang Syariah.

Umar Ibnu Abdul Aziz meninggal dunia pada tahun 720M akibat diracun oleh pembantunya yang diupah oleh Bani Umaiyah yang marah dengan tindakan Umar merampas segala keistimewaan dan harta mereka yang diperolehi dengan cara yang tidak halal. Maka tamatlah riwayat seorang khalifah yang telah mengabdikan seluruh hidupnya untuk berkhidmat kepada rakyatnya.

Pendapat Tentang Umar Ibnu Abdul Aziz
*Imam Mujahid berkata: "Kami datang kepada Umar untuk mengajarnya, sebaliknya kami yang belajar kepadanya".

*Imam Sufyan At Tsaury dan muridnya, Imam Syafii berkata : "Para khalifah itu sebenarnya lima orang sahaja : Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali dan Umar Ibnu Abdul Aziz dan yang lainnya ialah pelawak belaka".

*Yunus Ibnu Abi Syuhaib berkata: "Dulu aku melihat Umar Ibnu Abdul Aziz, ikatan pinggangnya tenggelam dalam lipatan perutnya (kerana gemuk) dan setelah menjadi khalifah, aku melihat tulang-tulang rusuknya dapat dikira tanpa menyentuhnya sama sekali".

*Raja' bin Haiwah, penasihat Umar berkata : 'Aku diperintah Umar untuk membeli pakaian yang berharga 6 dirham. Aku bawakan kepada beliau dan Umar berkata: "Aku suka dengan pakaian ini, sayangnya ia terlalu halus". "Mendengar kata-katanya, aku menangis". Beliau bertanya: "kenapa engkau menangis?" Aku menjawab: "Dahulu saya membeli pakaian berharga 600 dirham dan engkau berkata: aku suka pakaian ini, sayangnya ia terlalu kasar. Tetapi sekarang setelah engkau menjadi khalifah, saya membelikan pakaian berharga 6 dirham dan engkau berkata: aku suka dengan pakaian ini, sayangnya ia terlalu halus".


Penutup
Bolehkah pemimpin Islam masa kini yang bersikap seperti Umar Ibnu Abdul Aziz yang memperjuangkan kebajikan rakyatnya lebih dari dirinya sendiri. Beliau tidak pernah menggunakan jawatannya untuk mengumpul kekayaan bagi dirinya dan keluarganya malah beliau menolak segala kemewahan selepas dilantik memegang jawatan tertinggi negara. Bandingkan dengan cara hidup pemimpin sekarang yang hidup mewah apatah lagi memegang jawatan yang tinggi, hartanya juga akan turut meninggi. Gaji mereka juga beribu-ribu ringgit walaupun rakyat biasa hidup dalam kemiskinan sedangkan Khalifah Umar Ibnu Abdul Aziz yang memerintah empayar yang terbentang dari India hingga Sepanyol hanya memperolehi gaji sebanyak 2 dirham sahaja walaupun beliau boleh hidup mewah jika beliau mahu. Beliau berjaya mewujudkan negara yang sifar kemiskinan hanya dalam masa 3 tahun tetapi pemimpin masa kini, walaupun diberi masa 100 tahun pun tidak akan berkurang kemiskinan malah makin bertambah. Nasihat bagi pemimpin masa kini dan masa hadapan, renungilah riwayat pemimpin Islam terdahulu sebelum duduk di kerusi pemerintahan kerana banyak iktibar dan hikmah boleh diambil dari kisah mereka.

   

No comments:

Post a Comment

Powered By Blogger