SELAMAT DATANG KE AMIRUL MUSLIMIN

AMIRUL MUSLIMIN IALAH GELARAN YANG DIGUNAKAN OLEH SALAH SEORANG RAJA DINASTI MURABITUN YANG BERMAKSUD 'PEMIMPIN KAUM MUSLIMIN'.

Thursday, July 7, 2011

Islam Tidak Mengiktiraf Sistem Beraja??

Mungkin kita sering mendengar pendapat beberapa orang bahawa sistem beraja tidak diiktiraf oleh Islam kerana menurut mereka bertentangan dengan syariat. Adakah dakwaan mereka itu benar atau hanya ungkapan dari seseorang yang antimonarki? 

Sebelum membincangkan isu ini, saya ingin membicarakan serba sedikit tentang sistem beraja atau monarki. Sistem monarki ialah sistem tertua yang pernah dan masih digunakan oleh manusia. Sistem ini telah diamalkan oleh bangsa manusia sejak 3000 tahun yang lalu dan berkembang dalam pelbagai bangsa dan negara. Kini hanya terdapat lebih kurang 40 monarki sahaja yang masih bertakhta termasuk Raja-raja Malaysia dan Brunei.

Di dalam sejarah umat Islam pula, sistem monarki dikatakan mula diperkenalkan oleh Sayyiddina Muawiyah RA, pengasas Daulah Bani Umaiyah dengan pelantikan puteranya sebagai penggantinya seperti yang pernah dikatakan oleh Muawiyah RA sendiri : "Aku bukanlah seorang khalifah tetapi aku adalah raja pertama dari raja-raja Islam dan kalian akan mendapatkan raja-raja sesudahku" 

Sistem monarki walaupun dianggap tradisi Raja-raja Rom dan Parsi, bukan bermakna umat Islam tidak boleh mengambil sistem tersebut kerana terdapat hadis yang berbunyi :

“Kebijaksanaan adalah seperti barang tercicir bagi umat Islam, lalu dimana muslim menjumpai kebijaksaan, maka mereka yang paling layak untuk mengambilnya” 

Malah Rasulullah SAW sendiri mengiktiraf sistem monarki dalam surat2 yang diutus baginda untuk pemimpin2 terkemuka ketika itu :

Surat untuk 2 orang raja Oman,
Bismillahir Rahmanir Rahim,

Daripada Muhammad Hamba Allah dan Rasulnya kepada Jaifar dan Abdu Ibni Al-Julandi,

Salam bagi sesiapa yang mengikut petunjuk,

"Aku mengajak kamu dengan dakwah Islam, anutlah agama Islam maka kalian akan selamat. Sesungguhnya aku adalah Rasul Allah kepada seluruh umat manusia untuk memberi peringatan kepada orang2 yang hidup agar pasti ketetapan terhadap orang kafir. Apabila kamu berdua memeluk Islam, aku akan menetapkan kalian sebagai penguasa. Jika tidak maka kekuasaan kamu akan lenyap. Pasukan berkudaku akan menguasai negerimu dan kenabianku akan menewaskan kekuasaanmu".

Surat Rasulullah SAW untuk Hauzah bin Ali Al Hanafi
Bismillahir Rahmanir Rahim,

Daripada Muhammad Rasulullah kepada Hauzah bin Ali

Salam bagi sesiapa yang mengikut petunjuk,

" Ketahuilah bahawa agamaku akan sampai ke hujung tempat kaki unta dan kuda berpijak. Anutilah agama Islam, maka kamu akan selamat dan sesuatu yang ada di tangan kamu akan tetap menjadi milikmu".
Menurut Al Waqidi, "Ketika Hauzah menerima surat Rasulullah, di situ ada seorang tokoh Nasrani berasal dari Damsyik dan bertanya kepada Hauzah tentang isi surat tersebut. Hauzah lalu menjawab; 'Muhammad mengajak aku untuk memeluk agama Islam, namun aku tidak memberikan jawapannya.' Tokoh agama itu lau bertanya; Mengapa tidak kamu jawab? 'Aku menyayangi agamaku dan aku tidak mahu kehilangan pengikut daripada kaumku kerana mengikut ajakan Muhammad.' Tokoh agama itu berkata; 'Demi Allah, sikap yang paling tepat dan terbaik bagimu adalah memenuhi seruannya (memeluk Islam) dan kamu akan tetap menjadi penguasa.'

Jika dilihat daripada kisah Rasul-Rasul terdahulu juga, kita dapat menyaksikan bahawa para Nabi dan Rasul terdahulu juga mengamalkan sistem beraja seperti Nabi Daud dan Nabi Sulaiman. Menurut sebahagian ulama Syafie dan Hanafi, syariat Nabi-Nabi sebelum Nabi Muhammad SAW tetap sah dijalankan melainkan terdapat nas yang memansuhkan syariat tersebut. Sistem beraja adalah syariat Nabi Daud dan Sulaiman, jadi ia tetap boleh diamalkan melainkan ada nas yang mutawatir yang melarangnya. 
Jumhur ulama Ahli Sunnah juga berpendapat bahawa Institusi Beraja adalah sah di sisi syariat, antara pendapat ulama yang mengiktiraf sistem beraja ialah :

"Melantik Raja hukumnya fardhu kifayah seperti melantik kadhi" (Imam Ibnu Hajar)
"Umat Islam mestilah mempunyai raja yang mendirikan agama dan membela orang yang teraniaya dan menyempurnakan yang hak, oleh itu wajib melantik jika raja tersebut mangkat" (Imam Yusuf Al Ardabili Al Syafie)

Akhir kata, jika ada individu yang berpendapat bahawa Institusi Beraja tidak ada tempatnya dalam Islam, maka disarankan individu tersebut menelaah dahulu kitab2 sirah dan fatwa2 ulama. Di sini saya juga nukilkan hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Najjar dan hadis yang diriwayatkan oleh Al Baihaqi dan Al Hakim tentang fungsi sebenar raja-raja dalam Islam.

"Sultan adalah payung Allah di bumi ini, tempat bernaungnya orang-orang yang lemah, memberi pertolongan terhadap orang yang teraniaya. Barangsiapa memuliakan Sultan Allah di dunia ini, Allah akan memuliakannya di Akhirat"

"Sultan ialah payung Allah di dunia, tempat bernaungnya hamba-hamba Allah yang teraniaya. Maka seandainya Sultan itu adil, baginya pahala dan wajiblah bagi rakyat berterima kasih. Dan seandainya dia (Sultan) zalim atau khianat atau menyeleweng, dia berdosa dan rakyat wajib bersabar. Dan apabila para penguasa itu zalim, langit tidak akan menurunkan hujan. Apabila mereka tidak membayar zakat, binasalah binatang dan ternakan. Apabila zina berleluasa, timbullah kemiskinan dan apabila perjanjian dibatalkan, musuh-musuh bertindak jahat" 

Semoga kita mendapat manfaat daripada hadis ini terutama para kerabat diraja dan para penguasa yang sedang bertakhta sekarang ini kerana takhta bukanlah anugerah tetapi tanggungjawab yang akan dihisab di Mahkamah Allah.

  

 

No comments:

Post a Comment

Powered By Blogger