SELAMAT DATANG KE AMIRUL MUSLIMIN

AMIRUL MUSLIMIN IALAH GELARAN YANG DIGUNAKAN OLEH SALAH SEORANG RAJA DINASTI MURABITUN YANG BERMAKSUD 'PEMIMPIN KAUM MUSLIMIN'.

Tuesday, September 13, 2011

Tanah Melayu Dijajah Selama 2 Tahun oleh British???

Ketika ini isu tentang ceramah yang disampaikan oleh Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu tentang Allahyarham Mat Indera masih menjadi topik hangat walaupun sudah lebih 2 minggu isu itu diperkatakan.

Saya bukan ingin memperkatakan tentang Mat Indera ataupun Mat Sabu tetapi saya lebih tertarik dengan kenyataan Prof Zainal Kling dalam sidang media di Putrajaya yang menyatakan bahawa Tanah Melayu kecuali Negeri-Negeri Selat (NNS) iaitu Singapura, Pulau Pinang dan Melaka tidak pernah dijajah oleh British. Negeri-negeri Melayu hanyalah sebagai sebuah wilayah naungan.

Menurut beliau, Tanah Melayu hanya dijajah ketika penjajahan Jepun (3 tahun) dan ketika pentadbiran Malayan Union (2 tahun). Ini bermakna dalam kotak pemikiran Zainal, pejuang ketika itu ialah penentang kerajaan. Siapa yang dimaksudkan dengan kerajaan ketika itu??

Sebelum itu saya ingin menjelaskan perbezaan wilayah naungan dan jajahan menurut pengetahuan saya yang terbatas ini. Naungan menurut Kamus Pelajar Edisi Kedua DBP ialah di bawah jagaan, kawalan dan lindungan negara asing (cth: Iraq yang diperintah Amerika Syarikat secara tidak langsung)  manakala tanah jajahan pula menurut Kamus Dewan Edisi Empat ialah negeri atau negara yang terjajah oleh negara asing (cth: penjajahan Jepun di Asia).

Walaupun kedua-dua status wilayah tersebut berbeza tetapi wilayah naungan masih tetap terjajah kerana terdapat kuasa lain yang mentadbir negara tersebut. Jika kita mengambil pendirian bahawa Tanah Melayu atau Malaya tidak pernah dijajah, maka akan timbul persoalan-persoalan:
  1. Mengapa kita diajar di sekolah bahawa kita dijajah oleh British?
  2. Mengapa kita menyambut hari kemerdekaan setiap tahun jika kita tidak pernah dijajah?
  3. Mengapa kita memanggil Dol Said, Tok Janggut dan Dato' Bahaman sebagai pejuang kemerdekaan?
  4. Mengapa Tunku Abdul Rahman digelar Bapa Kemerdekaan jika kita bukan rakyat jajahan?
  5. Mengapa ditanam di minda kita bahawa UMNO ialah pejuang kemerdekaan negara?
Jika kita menganggap Malaya tidak pernah terjajah hanya semata-mata sebagai naungan, itu bermakna hampir kesemua negara yang dinaung oleh penjajah Eropah adalah negara yang merdeka. Jadi UMNO tidak boleh men'claim' dirinya sebagai pejuang kemerdekaan kerana Tanah Melayu bukan jajahan mana-mana negara asing.

Kita juga boleh berkata bahawa Iraq dan Afganistan bukan dijajah dan diceroboh oleh AS kerana AS hanya menaungi dan membantu kedua-dua negara tersebut, begitu??

Menurut agama Islam, penjajahan bukan sahaja penjajahan di mana kita diperintah secar langsung oleh penjajah tetapi juga penjajahan minda, ekonomi dan politik. Memang Briitsh tidak menjajah kita secara langdung tapi bukankah Raja-Raja Melayu yang dinaungi British wajib mendengar nasihat Residen yang dilantik oleh British. Apa itu bukan penjajahan?? Mungkin tidak buat Prof Zainal.

Saya sendiri bukan ingin menyalahkan Prof Zainal tapi saya ingin menasihatkan Prof supaya berfikir dahulu sebelum bertindak. Memang saya belum sampai ke tahap pendidikan Prof Zainal untuk menasihatkan beliau tetapi bukankah Amirul Mukminin Ali Bin Abi Talib pernah berkata, "Jangan melihat siapa yang mengatakan tetapi lihatlah apa yang dikatakan" dan sabda junjungan kita Nabi Muhammad SAW, "Agama itu adalah nasihat".

Fikir-fikirkanlah... 

 

Monday, July 11, 2011

Kehidupan Seorang Khalifah Islam

Umar Ibnu Abdul Aziz ialah nama yang tidak asing lagi bagi kalangan orang yang mencintai sejarah Islam dan pemimpin-pemimpinnya. Tujuan saya menulis ini ialah untuk kita berkongsi perbandingan kehidupan seorang khalifah umat Islam dengan pemerintah negara umat Islam sekarang ini.

Umar Ibnu Abdul Aziz atau lebih dikenali sebagai Umar II ialah salah seorang Khalifah Bani Umaiyah yang terkenal dengan kezuhudannya dan kejujuran dalam menjalankan amanah yang diberikan kepadanya sehingga beliau dianggap sebagai Khulafa' Ar Rasyidin ke 5 dan mujaddid abad ke 2H oleh para ulama. Umar ialah putera kepada Abdul Aziz Ibnu Marwan, saudara Khalifah Abdul Malik ibnu Marwan Ibnu Hakam, Khalifah ke 5 Bani Umaiyah. Ibunya ialah Ummu Ashim Ibnu Ashim, cucu kepada Amirul Mukminin Umar Ibnu Khattab Al Faruq.

Sejak kecil beliau hidup dalam kemewahan kerana berasal daripada keturunan pemerintah umat Islam ketika itu. Bapanya ialah seorang gabenor yang bertugas di Mesir dan ketika beliau menuntut ilmu di Madinah, beliau ditanggung perbelanjaannya oleh bapa saudaranya, Abdul Malik Ibnu Marwan. Beliau membesar sebagai pemuda yang sopan dan suka bergaya sehingga memikat ramai wanita tetapi ditakdirkan beliau bertemu jodoh dengan sepupunya sendiri, Fatimah Ibnu Khalifah Abdul Malik.

Kejujuran dan kesopanannya menyebabkan Khalifah Walid Ibnu Abdul Malik melantiknya sebagai Gabenor Hijaz tetapi dipecat selepas berkhidmat selama 2 tahun atas nasihat Hajjaj At Thaqafi. Kehidupannya sebelum dilantik sebagai khalifah tidak terlalu menarik perhatian kerana sebagai pemuda yang terbiasa hidup dalam kemewahan tidak hairan jika beliau mengamalkan gaya hidup golongan atasan. Tetapi selepas pelantikannya sebagai khalifah umat Islam, beliau telah mengamalkan cara hidup yang sangat jauh berbeza dengan kehidupannya yang dulu.

Sebaik dilantik sebagai khalifah, beliau telah berucap di hadapan kaum muslimin supaya melantik orang yang lebih baik daripada beliau tetapi kaum muslimin menyatakan kerelaan mereka untuk membaiat Umar sebagai khalifah.

Selepas mengebumikan jenazah Khalifah Sulaiman Ibnu Abdul Malik, Beliau telah berkhutbah di hadapan rakyatnya, “Wahai manusia, tiada nabi selepas Muhammad SAW dan tiada kitab selepas Al Quran, aku bukan penentu hukum malah aku pelaksana hukum Allah, aku bukan ahli bid’ah malah aku seorang yang mengikut sunnah, aku bukan orang yang paling baik dikalangan kamu sedangkan aku cuma orang yang paling berat tanggungannya di kalangan kamu, aku mengucapkan ucapan ini sedangkan aku tahu aku adalah orang yang paling banyak dosa di sisi Allah” Beliau kemudian duduk dan menangis "Alangkah besarnya ujian Allah kepadaku" sambung Umar Ibn Abdul Aziz.

Umar tidak pernah menginginkan jawatan sebagai khalifah apatah lagi memintanya tetapi Sulaiman tetap memilihnya sebagai pengganti kerana beliau sangat mengenali peribadi Umar Ibnu Abdul Aziz. Selepas berkhutbah di hadapan rakyat, beliau pulang ke rumah dan menangis lagi sehingga isterinya bertanya kepadanya, “Apa yang Amirul Mukminin tangiskan?” Beliau mejawab “Wahai isteriku, aku telah diuji oleh Allah dengan jawatan ini dan aku sedang teringat kepada orang-orang yang miskin, ibu-ibu yang janda, anaknya ramai, rezekinya sedikit, aku teringat orang-orang dalam tawanan, para fuqara’ kaum muslimin. Aku tahu mereka semua ini akan mendakwaku di akhirat kelak dan aku bimbang aku tidak dapat jawab hujah-hujah mereka sebagai khalifah kerana aku tahu, yang menjadi pembela di pihak mereka adalah Rasulullah saw’’. Isterinya juga turut mengalir air mata.

Umar juga menolak segala kemewahan milik khalifah Umaiyah terdahulu dan beliau juga tidak mahu tinggal di istana sebaliknya menetap di rumahnya yang sudah buruk. Umar juga menjual segala perhiasan dan kenderaan milik khalifah dan dimasukkan wangnya ke dalam Baitulmal. Segala haruman dan pakaian mahal miliknya juga dijual dan beliau hanya memakai pakaian yang sederhana. Makanan sehari-harinya hanya roti kering dan garam. Beliau juga tidak mempunyai pembantu rumah untuk menguruskan hal-hal rumahtangga, semuanya dilakukan sendiri oleh beliau.

Malah beliau juga telah meminta isterinya untuk memilih sama ada ingin menyerahkan segala perhiasan isterinya itu ke Baitulmal atau beliau menceraikan isterinya. Isteri Umar memilih untuk menyerahkan perhiasannya ke Baitulmal dan tinggal bersama Umar dengan kehidupan yang sederhana.

Semasa pemerintahan Umar Ibnu Abdul Aziz selama 3 tahun, merupakan zaman rahmat bagi umat Islam ketika itu kerana Umar telah memansuhkan segala cukai yang membebankan rakyat kecuali cukai yang dibenarkan syariat. Umar juga berjaya menyatukan semula empayar Islam dengan menghapuskan pemberontakan dan perpecahan kaum akibat polisi 'pecah dan perintah' khalifah-khalifah sebelumnya dengan cara mengadakan dialog dengan pihak pemberontak.


Zaman Umar juga memperlihatkan kepada dunia bagaimana Umar dalam masa hanya 3 tahun pemerintahannya mampu menjadi rakyatnya makmur dan kaya sehingga ketika itu tidak ada rakyat yang layak menerima zakat. Empayar Islam ketika itu meliputi 3 benua iaitu Afrika, Asia dan Eropah. Bayangkan Umar berjaya menghapus kemiskinan dalam masa yang begitu singkat dan meliputi pula negara yang sangat luas dan besar.

Beliau juga berjasa mengembalikan kemurnian ajaran Islam dengan menghapuskan bidaah sesat iaitu tradisi mencaci maki Sayyidina Ali RA di dalam khutbah Jumaat, menghapuskan jizyah terhadap kaum bukan Arab yang telah memeluk Islam dan menguatkuasakan undang-undang Syariah.

Umar Ibnu Abdul Aziz meninggal dunia pada tahun 720M akibat diracun oleh pembantunya yang diupah oleh Bani Umaiyah yang marah dengan tindakan Umar merampas segala keistimewaan dan harta mereka yang diperolehi dengan cara yang tidak halal. Maka tamatlah riwayat seorang khalifah yang telah mengabdikan seluruh hidupnya untuk berkhidmat kepada rakyatnya.

Pendapat Tentang Umar Ibnu Abdul Aziz
*Imam Mujahid berkata: "Kami datang kepada Umar untuk mengajarnya, sebaliknya kami yang belajar kepadanya".

*Imam Sufyan At Tsaury dan muridnya, Imam Syafii berkata : "Para khalifah itu sebenarnya lima orang sahaja : Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali dan Umar Ibnu Abdul Aziz dan yang lainnya ialah pelawak belaka".

*Yunus Ibnu Abi Syuhaib berkata: "Dulu aku melihat Umar Ibnu Abdul Aziz, ikatan pinggangnya tenggelam dalam lipatan perutnya (kerana gemuk) dan setelah menjadi khalifah, aku melihat tulang-tulang rusuknya dapat dikira tanpa menyentuhnya sama sekali".

*Raja' bin Haiwah, penasihat Umar berkata : 'Aku diperintah Umar untuk membeli pakaian yang berharga 6 dirham. Aku bawakan kepada beliau dan Umar berkata: "Aku suka dengan pakaian ini, sayangnya ia terlalu halus". "Mendengar kata-katanya, aku menangis". Beliau bertanya: "kenapa engkau menangis?" Aku menjawab: "Dahulu saya membeli pakaian berharga 600 dirham dan engkau berkata: aku suka pakaian ini, sayangnya ia terlalu kasar. Tetapi sekarang setelah engkau menjadi khalifah, saya membelikan pakaian berharga 6 dirham dan engkau berkata: aku suka dengan pakaian ini, sayangnya ia terlalu halus".


Penutup
Bolehkah pemimpin Islam masa kini yang bersikap seperti Umar Ibnu Abdul Aziz yang memperjuangkan kebajikan rakyatnya lebih dari dirinya sendiri. Beliau tidak pernah menggunakan jawatannya untuk mengumpul kekayaan bagi dirinya dan keluarganya malah beliau menolak segala kemewahan selepas dilantik memegang jawatan tertinggi negara. Bandingkan dengan cara hidup pemimpin sekarang yang hidup mewah apatah lagi memegang jawatan yang tinggi, hartanya juga akan turut meninggi. Gaji mereka juga beribu-ribu ringgit walaupun rakyat biasa hidup dalam kemiskinan sedangkan Khalifah Umar Ibnu Abdul Aziz yang memerintah empayar yang terbentang dari India hingga Sepanyol hanya memperolehi gaji sebanyak 2 dirham sahaja walaupun beliau boleh hidup mewah jika beliau mahu. Beliau berjaya mewujudkan negara yang sifar kemiskinan hanya dalam masa 3 tahun tetapi pemimpin masa kini, walaupun diberi masa 100 tahun pun tidak akan berkurang kemiskinan malah makin bertambah. Nasihat bagi pemimpin masa kini dan masa hadapan, renungilah riwayat pemimpin Islam terdahulu sebelum duduk di kerusi pemerintahan kerana banyak iktibar dan hikmah boleh diambil dari kisah mereka.

   

Sunday, July 10, 2011

Kelahiran Negara Baru : Republik Sudan Selatan


 
Cogan kata"Justice, Liberty, Prosperity"
(Keadilan, Kebebasan, Kemakmuran)


Pada 9 Julai 2011, lahir sebuah negara baru di benua Afrika iaitu Republik Sudan Selatan. Sudan Selatan memeperoleh kemerdekaan selepas kedua-dua Sudan Utara dan Sudan Selatan bersetuju mengadakan referendum bagi memilih untuk kekal di dalam Republik Sudan atau merdeka. 99% rakyat bersetuju untuk merdeka daripada Sudan dalam referendum pada Januari 2011.


Pada 9 Julai 2011, Salva Kiir Mayardit mengangkat sumpah sebagai presiden Republik Sudan Selatan. Sudan Selatan menjadi negara termuda di dunia dan negara majoriti Kristian yang baru di Afrika.

Pemerintah Sudan Selatan diharapkan berjaya membangunkan negara baru ini sesuai dengan statusnya sebagai negara yang kaya dengan hasil minyak. Mereka juga perlu bijak dalam menangani warganegara Islam yang menjadi penduduk minoriti di Sudan Selatan untuk mengelakkan konflik baru di Afrika.

Di dalam kita meraikan negara Kristian baru Afrika tersebut, janganlah kita lupa memandang kepada saudara Islam kita yang sehingga sekarang masih dijajah dan ditindas seperti Chehnya, Kashmir, Selatan Thai dan Selatan Filipina dan Palestin. Mereka telah sekian lama menuntut hak mereka untuk memilih masa depan mereka sendiri tetapi tidak pernah diendahkan malah negara2 Islam sendiri memejam mata apabila ada saudara kita yang dibunuh atau ditindas dan mereka hanya menganggap ia adalah isu dalaman negara tersebut. Di mana maruah pemimpin Islam?? Ini sangat berbeza dengan pemimpin kafir yang akan berusaha membantu pihak yang seagama dengan mereka seperti ditunjuk oleh Amerika Syarikat di Sudan Selatan dan Filipina walaupun ditegah oleh masyarakat antarabangsa malah sehingga berani menceroboh kedaulatan negara tersebut.

Saya sendiri tidak terlalu teruja dengan kemerdekaan Sudan Selatan kerana ia menandakan perpecahan kepada negara terbesar di Afrika yang sangat kuat berpegang kepada tradisi agama Islam. Saya yakin jika Sudan Selatan mempunyai rakyat Islam yang majoriti, Barat dan sekutunya tidak akan mengakui kemerdekaan negara tersebut dengan mudah. Saya berharap pemimpin2 Islam berusaha keras untuk memastikan negara umat Islam yang masih dijajah oleh orang kafir dapat memperolehi hak mereka sebagai bangsa berdaulat. Saya sangat yakin AS dan sekutunya akan mendapat keuntungan dari kemerdekaan Sudan Selatan sebagai sebuah negara yang kaya dengan 'emas hitam'nya.

Satu lagi yang lebih menarik ialah Perhimpunan Aman Bersih diadakan pada 9 Julai juga, adakah ia satu kebetulan atau 9 Julai ialah hari kemerdekaan untuk rakyat Sudan Selatan dan rakyat Malaysia dari penjajahan fizikal dan juga fikiran.                                        

Saturday, July 9, 2011

Dinasti Syarif Mekah, Khadim Al Haramain

Mekah Al Mukarramah ialah kota paling suci dalam Islam kerana ia menempatkan Kaabah yang merupakan kiblat bagi umat Islam. 2 lagi kota suci dalam Islam ialah Madinah Al Munawwarah, tempat makam Rasulullah SAW berada dan Baitulmaqdis, kiblat pertama umat Islam. Sebelum dinasti Syarif Mekah diasaskan, pemerintah Mekah lebih dikenali sebagai Wali (Gabenor) Mekah yang dilantik oleh Khalifah umat Islam.

Pada zaman Khulafa' Ar-Rasyiddin, pemilihan gabenor Mekah kurang diberi perhatian kerana banyak menumpukan perhatian kepada pembukaan wilayah baru dan pergolakan dalam negara ketika di bawah pemerintahan Khalifah Uthman dan Khalifah Ali. Ketika itu pemilihan wali diambil dari kalangan keluarga Bani Hasyim. Pada zaman Bani Umaiyah dan Abbassiyah, wali Mekah dilantik dari kalangan keluarga mereka atau penyokong2 mereka.

Pada akhir abad ke 9M, wujud gerakan yang bergelar Al Qaramithah yang diasaskan oleh Abu Tahir ibnu Abu Said Al Jaunabi Al Qarmati.  Mereka ialah kelompok pelampau agama yang telah berjaya memerintah Oman dan kemudiannya menakluki Mekah pada tahun 929M dan membunuh rombongan jemaah haji. Mereka terus memerintah Mekah sehingga tahun 965M, sehinggalah mereka dikalahkan dan diusir dari Mekah oleh Syarif Jaafar ibnu Muhammad Al Hassani yang mengetuai rombongan jemaah haji dari Mesir. Tindakan mengusir puak Qaramithah ini disokong oleh Kerajaan Fatimiyyah yang merupakan pesaing kepada kerusi kekhalifahan kepada Bani Abbassiyah.

Semenjak itu, kerusi penguasa Mekah sentiasa berada di dalam tangan Ahlul Bait dari cabang Al Hassan, cucu Rasulullah SAW. Pada mulanya, Mekah diperintah oleh Dinasti Al Hassani yang diasaskan oleh Syarif Jaafar ibnu Muhammad Al Hassani yang bertahan selama 100 tahun dan penguasa terakhirnya ialah Muhammad Syukr ibnu Abdul Futuh. Beliau tidak memiliki waris dan menyerahkan kuasa pemerintahan Mekah kepada seorang pembesar Bani Abi Tib, Muhammad ibnu Abi Fatik pada 1061M tetapi kuasanya dirampas oleh seorang pemimpin Yaman bernama Ali ibnu Muhammad Al Suhaili. Untuk sementara waktu, wali Mekah bukan dari kalangan Ahlul Bait tetapi Ali tidak lama memerintah sehingga beliau terpaksa menyerahkan semula takhta Mekah kepada keluarga Ahlul Bait semula pada tahun 1062M.

Pemerintahan Mekah kini dipegang pula oleh Syarif Muhammad ibnu Jaafar yang mendirikan Dinasti Abi Hasyim yang terus memerintah sehingga tahun 1200M. Malangnya, pemerintah2 Dinasti Abi Hasyim dikatakan lemah sehingga menyebabkan ketidakpuasan hati penduduk Mekah lalu pembesar2 Mekah telah menemui Syarif Qitadah, pemerintah Yanbu untuk meminta beliau bertindak.

Qitadah kemudiannya mengirim puteranya, Handalah untuk mengusir Mikhtar ibnu Isa, pemerintah Abi Hasyim terakhir dalam tahun1201M. Mikhtar meninggal dunia dalam buangan di Yaman 2 tahun kemudian.

Sejak pemerintahan Bani Qitadah, wali2 Mekah tidak lagi dipilih oleh khalifah tetapi menjadi hak warisan keturunan Qitadah. Dinasti Qitadah dapat memerintah Mekah selama 700 tahun bermula dari tahun 1201M hingga 1924M.

Berakhirnya penguasaan Dinasti Qitadah terhadap kerusi Syarif Mekah apabila dirampas oleh keluarga Muhammad ibnu Saud Al Dar'iyyah yang berasal dari Najd. Kaum Saudiyyah adalah penganut fahaman Wahabi yang diasaskan oleh Muhammad ibnu Abdul Wahab.Mereka ialah kelompok yang ekstrim dalam menjalankan penyebaran fahaman mereka. Mereka menghukum bidaah apa sahaja perkara yang tidak ada pada zaman Rasulullah SAW. Mereka juga menganggap Syarif Mekah ialah seorang ahli bidaah.

Kaum Saudiyyah selama 300 tahun mereka telah beberapa kali mencuba menakluki Mekah daripada tangan Ahlul Bait tetapi tidak berjaya kerana Empayar Turki Uthmaniyah melindungi Mekah daripada serangan Saudiyyah. Mekah ketika itu ialah salah satu wilayah naungan Uthmaniyah.

Selepas kejatuhan Uthmaniyah pada tahun 1924, Syarif Mekah terakhir, Syarif Hussain ibnu Ali telah mengisytiharkan dirinya sebagai Khalifah umat Islam. Walau bagaimanapun, pihak barat tidak mahu melihat kembali kewujudan Khilafah Islam kerana khuatir umat Islam akan bersatu semula untuk melawan pengaruh Barat di negara2 umat Islam yang telah dijajah.

Oleh itu, bersama-sama pemimpin Saud yang memerintah Najd, British telah merampas kerusi Syarif Mekah daripada tangan Ahlul Bait dan diserahkan kepada kaum Saudiyyah. Wilayah Hijaz dan Najd disatukan dan dinamakan Arab Saudi sempena nama pemimpin pertama mereka.

Syarif Hussain ibnu Ali, Amir Mekah dan penguasa Hijaz dan Tanah Arab melarikan diri ke Jordan (ketika itu dikenali sebagai Transjordan yang meliputi tanah Palestin). Jordan diperintah oleh putera Syarif Hussain, Raja Abdullah I sebagai raja Jordan pertama. Iraq juga diperintah oleh keluarga Syarif Hussain dengan Raja pertamanya, Raja Faisal ialah putera Syarif Hussain tetapi Dinasti Syarif Hussain di Iraq hanya bertahan sehingga 3 generasi sahaja iaitu Raja Faisal I, Raja Ghazi I dan Raja Faisal II. Raja Faisal II terbunuh dalam rampasan kuasa yang dilakukan oleh pihak tentera. Sejak itu, Iraq diperintah sebagai sebuah republik.

Kejatuhan Syarif Hussain sebagai Amir Mekah sebenarnya ada kaitan dengan penolakan beliau untuk mengiktiraf negara Israel. Sebagai Khadim Al Haramain atau 'Penjaga Dua Kota Suci', beliau tidak sanggup mengkhianati amanah yang diberikan oleh umat Islam dengan mengiktiraf negara haram Israel yang didirikan di atas tanah kaum muslimin. Beliau terpaksa membayar penolakan tersebut dengan harga yang sangat mahal iaitu kehilangan kedudukan sebagai Amir Mekah dan Raja Hijaz.

Rujukan :

*Ahlul Bait (keluarga) Rasulullah SAW & Kesultanan Melayu,  Tun Suzana Tun Hj Othman dan Hj Muzaffar Dato Hj Muhammad, 2006.

Thursday, July 7, 2011

Islam Tidak Mengiktiraf Sistem Beraja??

Mungkin kita sering mendengar pendapat beberapa orang bahawa sistem beraja tidak diiktiraf oleh Islam kerana menurut mereka bertentangan dengan syariat. Adakah dakwaan mereka itu benar atau hanya ungkapan dari seseorang yang antimonarki? 

Sebelum membincangkan isu ini, saya ingin membicarakan serba sedikit tentang sistem beraja atau monarki. Sistem monarki ialah sistem tertua yang pernah dan masih digunakan oleh manusia. Sistem ini telah diamalkan oleh bangsa manusia sejak 3000 tahun yang lalu dan berkembang dalam pelbagai bangsa dan negara. Kini hanya terdapat lebih kurang 40 monarki sahaja yang masih bertakhta termasuk Raja-raja Malaysia dan Brunei.

Di dalam sejarah umat Islam pula, sistem monarki dikatakan mula diperkenalkan oleh Sayyiddina Muawiyah RA, pengasas Daulah Bani Umaiyah dengan pelantikan puteranya sebagai penggantinya seperti yang pernah dikatakan oleh Muawiyah RA sendiri : "Aku bukanlah seorang khalifah tetapi aku adalah raja pertama dari raja-raja Islam dan kalian akan mendapatkan raja-raja sesudahku" 

Sistem monarki walaupun dianggap tradisi Raja-raja Rom dan Parsi, bukan bermakna umat Islam tidak boleh mengambil sistem tersebut kerana terdapat hadis yang berbunyi :

“Kebijaksanaan adalah seperti barang tercicir bagi umat Islam, lalu dimana muslim menjumpai kebijaksaan, maka mereka yang paling layak untuk mengambilnya” 

Malah Rasulullah SAW sendiri mengiktiraf sistem monarki dalam surat2 yang diutus baginda untuk pemimpin2 terkemuka ketika itu :

Surat untuk 2 orang raja Oman,
Bismillahir Rahmanir Rahim,

Daripada Muhammad Hamba Allah dan Rasulnya kepada Jaifar dan Abdu Ibni Al-Julandi,

Salam bagi sesiapa yang mengikut petunjuk,

"Aku mengajak kamu dengan dakwah Islam, anutlah agama Islam maka kalian akan selamat. Sesungguhnya aku adalah Rasul Allah kepada seluruh umat manusia untuk memberi peringatan kepada orang2 yang hidup agar pasti ketetapan terhadap orang kafir. Apabila kamu berdua memeluk Islam, aku akan menetapkan kalian sebagai penguasa. Jika tidak maka kekuasaan kamu akan lenyap. Pasukan berkudaku akan menguasai negerimu dan kenabianku akan menewaskan kekuasaanmu".

Surat Rasulullah SAW untuk Hauzah bin Ali Al Hanafi
Bismillahir Rahmanir Rahim,

Daripada Muhammad Rasulullah kepada Hauzah bin Ali

Salam bagi sesiapa yang mengikut petunjuk,

" Ketahuilah bahawa agamaku akan sampai ke hujung tempat kaki unta dan kuda berpijak. Anutilah agama Islam, maka kamu akan selamat dan sesuatu yang ada di tangan kamu akan tetap menjadi milikmu".
Menurut Al Waqidi, "Ketika Hauzah menerima surat Rasulullah, di situ ada seorang tokoh Nasrani berasal dari Damsyik dan bertanya kepada Hauzah tentang isi surat tersebut. Hauzah lalu menjawab; 'Muhammad mengajak aku untuk memeluk agama Islam, namun aku tidak memberikan jawapannya.' Tokoh agama itu lau bertanya; Mengapa tidak kamu jawab? 'Aku menyayangi agamaku dan aku tidak mahu kehilangan pengikut daripada kaumku kerana mengikut ajakan Muhammad.' Tokoh agama itu berkata; 'Demi Allah, sikap yang paling tepat dan terbaik bagimu adalah memenuhi seruannya (memeluk Islam) dan kamu akan tetap menjadi penguasa.'

Jika dilihat daripada kisah Rasul-Rasul terdahulu juga, kita dapat menyaksikan bahawa para Nabi dan Rasul terdahulu juga mengamalkan sistem beraja seperti Nabi Daud dan Nabi Sulaiman. Menurut sebahagian ulama Syafie dan Hanafi, syariat Nabi-Nabi sebelum Nabi Muhammad SAW tetap sah dijalankan melainkan terdapat nas yang memansuhkan syariat tersebut. Sistem beraja adalah syariat Nabi Daud dan Sulaiman, jadi ia tetap boleh diamalkan melainkan ada nas yang mutawatir yang melarangnya. 
Jumhur ulama Ahli Sunnah juga berpendapat bahawa Institusi Beraja adalah sah di sisi syariat, antara pendapat ulama yang mengiktiraf sistem beraja ialah :

"Melantik Raja hukumnya fardhu kifayah seperti melantik kadhi" (Imam Ibnu Hajar)
"Umat Islam mestilah mempunyai raja yang mendirikan agama dan membela orang yang teraniaya dan menyempurnakan yang hak, oleh itu wajib melantik jika raja tersebut mangkat" (Imam Yusuf Al Ardabili Al Syafie)

Akhir kata, jika ada individu yang berpendapat bahawa Institusi Beraja tidak ada tempatnya dalam Islam, maka disarankan individu tersebut menelaah dahulu kitab2 sirah dan fatwa2 ulama. Di sini saya juga nukilkan hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Najjar dan hadis yang diriwayatkan oleh Al Baihaqi dan Al Hakim tentang fungsi sebenar raja-raja dalam Islam.

"Sultan adalah payung Allah di bumi ini, tempat bernaungnya orang-orang yang lemah, memberi pertolongan terhadap orang yang teraniaya. Barangsiapa memuliakan Sultan Allah di dunia ini, Allah akan memuliakannya di Akhirat"

"Sultan ialah payung Allah di dunia, tempat bernaungnya hamba-hamba Allah yang teraniaya. Maka seandainya Sultan itu adil, baginya pahala dan wajiblah bagi rakyat berterima kasih. Dan seandainya dia (Sultan) zalim atau khianat atau menyeleweng, dia berdosa dan rakyat wajib bersabar. Dan apabila para penguasa itu zalim, langit tidak akan menurunkan hujan. Apabila mereka tidak membayar zakat, binasalah binatang dan ternakan. Apabila zina berleluasa, timbullah kemiskinan dan apabila perjanjian dibatalkan, musuh-musuh bertindak jahat" 

Semoga kita mendapat manfaat daripada hadis ini terutama para kerabat diraja dan para penguasa yang sedang bertakhta sekarang ini kerana takhta bukanlah anugerah tetapi tanggungjawab yang akan dihisab di Mahkamah Allah.

  

 

Wednesday, July 6, 2011

Masih Relevankah Sistem Beraja Di Zaman Sekarang??

Sistem Beraja atau Monarki ialah sistem pemerintahan yang tertua di dunia, ia dipercayai wujud sejak 3000 tahun dahulu. Semua tamadun2 awal manusia mengamalkan sistem monarki seperti Tamadun Mesopotamia, Mesir, India dan China. Perkataan monarki berasal daripada perkataan latin iaitu 'mono' dan 'archein' yang bermaksud 'satu pemerintahan'.

Sistem monarki di Asia Tenggara wujud sejak ribuan tahun dan dipengaruhi oleh agama Hindu-Buddha dan kemudian bertukar kepada sistem kesultanan selepas kedatangan Islam. Selepas kedatangan Islam, hampir semua kerajaan di Asia Tenggara menjadi kerajaan2 Islam.

Kedatangan orang Eropah telah mengubah sistem politik tradisional orang Melayu berpegang kepada sistem beraja mutlak kepada sistem raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen. Orang Melayu khususnya di Malaysia dikira masih bernasib baik kerana Inggeris tidak menghapuskan sistem monarki selepas mendapat tentangan hebat daripada orang Melayu dalam percubaan mereka menghapuskan Institusi Beraja melalui Malayan Union.

Sistem beraja Malaysia masih terselamat walaupun dipaksa mengubah peranan mereka daripada berkuasa mutlak kepada kuasa berperlembagaan.

Adakah monarki masih relevan saat ini? Jawapannya ialah ya, ia masih relevan dan masih diperlukan.

Walaupun Institusi Beraja Malaysia kini hanya menpunyai kuasa yang terhad tetapi tidak bermakna mereka tidak lagi penting dan relevan. Institusi beraja masih diperlukan oleh orang Melayu dalam menjaga hak2 mereka seperti yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Malaysia. Raja juga bertindak sebagai pihak pendamai dan memastikan sistem 'check and balance' dapat dilaksanakan.

Fungsi raja Melayu yang termaktub di dalam Perlembagaan Malaysia ialah
*Melantik Perdana Menteri/Menteri Besar
*Bersetuju atau tidak bersetuju untuk membubarkan Parlimen/DUN (atas desakan)
*Ketua agama Islam dan adat istiadat Melayu
*Pelindung kedudukan istimewa Melayu dan Bumiputera dan hak-hak sah kaum lain

Kuasa raja juga sangat signifikan dalam situasi yang memerlukan kebijaksanaan raja seperti pelantikan menteri besar di Perak dan Terengganu pasca PRU-12. Raja juga lebih bebas untuk bertindak kerana kedudukan raja lebih stabil berbanding ahli politik yang sering terpaksa mengikut dasar parti yang diwakilinya sehingga kadangkala menyebabkan kerugian kepada rakyat dan bimbang kehilangan kuasa memimpin. Raja juga berfungsi sebagai tanda kepada ketuanan bangsa Melayu dan simbol peringatan kepada bangsa lain bahawa umat Melayu-Islam adalah tuan kepada Tanah Melayu ini.

Konspirasi Dalam Penghapusan Institusi Beraja

Penghapusan sistem beraja ialah satu rancangan jahat Zionis yang ingin mewujudkan satu persepsi bahawa Institusi Beraja sudah tidak relevan lagi. Tujuannya ialah untuk memudahkan rancangan mereka mengawal dunia seperti yang diungkapkan mereka dalam Protokol Cendekiawan Zionis:

"Namun pada hakikatnya segala-gala yang benar adalah bersandarkan atas sistem dinasti (pemerintahan raja mutlak), yakni seorang ayah (pemerintah) menyampaikan ilmu2 mengenai hal2 politik dalam keadaan begitu berhikmah sehingga tidak sesiapapun faham melainkan ahli2 dinasti tersebut, mereka tidak mengkhianati (disebabkan sifatnya yang berasaskan sistem warisan). Dengan berlalunya masa,kefahaman (mengenai kelebihan) sistem dinasti ini yang berkaitan hal2 plitik telah hilang dan perkara ini menolong kejayaan 'perjuangan' kita"  
(Petikan dari buku 'Ahlul Bait & Kesultanan Melayu', ms 416)

Pihak Zionis sendiri mengakui kebaikan dan kebenaran sistem ini kerana segala hal tentang politik akan disampaikan dengan teliti dan berhikmah malah penghapusan Institusi Beraja menjadi langkah pertama dan utama bagi mereka sebelum langkah2 lain dilakukan.

"Anda akan dapat melihat kemudiannya bahawa ini akan membantu kemenangan kita, Ia akan memberikan kita suatu kemungkinan untuk mendapatkan Kad Induk (MASTER CARD) (iaitu) pembinasaan golongan bangsawan warisan yang merupakan satu-satunya golongan yang menjadi pertahanan semulajadi bangsa2 dan negara2 dari serangan kita. Dari pembinasaan kelas bangsawan  warisan (Institusi Raja) yang bersifat fitrah itu, kita telah membina golongan 'bangsawan meritokrasi' (ahli2 politik) yang diketuai oleh golongan 'bangsawan berduit' (kapitalis)" ('Ahlul Bait & Kesultanan Melayu', ms 390-391) 

Bangsa Melayu harus mengambil iktibar dan contoh daripada bangsa Inggeris yang masih tetap ingin mengekalkan sistem monarki mereka walaupun mereka sudah sekian lama menjadi bangsa yang maju dalam serba-serbi malah di Australia yang merupakan salah satu negara Alam Komanwel pernah mengadakan referendum pada 6 November 1999 untuk memberi peluang kepada rakyat mereka memilih sama ada kekal bernaung di bawah Ratu England atau memebentuk republik tetapi hasil referendum menunjukkan rakyat negara tersebut memilih untuk terus bernaung di bawah naungan diraja walaupun Australia sudah lama merdeka dari Britain.

Sekarang ini terpulang kepada bangsa Melayu sama ada ingin membuang sistem monarki atau terus bernaung di bawahnya. Jangan kerana kesilapan beberapa orang raja, kita ingin menghapuskan apa yang sudah dibina sejak ratusan tahun. Jangan setelah tiada lagi Institusi Beraja, kita menyesal kerana ketika itu ia tidak berguna lagi. Ingatlah apa yang dikatakan oleh seorang pembesar Sulu ketika rakyat mencadangkan sistem beraja digantikan dengan sistem demokrasi ala Amerika Syarikat :

"Anda tidak boleh mencubanya kerana jika anda mencubanya dan anda merosakkan sultan anda, maka anda tidak akan dapat mengembalikan semula apa yang kehilangan dari sultan"         
   

Saturday, July 2, 2011

Kerajaan Islam yang Dilupakan

Filipina ialah salah sebuah negara anggota ASEAN dan salah satu negara di Asia Tenggara yang penduduknya majoriti Kristian (satu lagi ialah Timor Leste). Di negara yang dikuasai oleh orang Kristian ini, pernah berdiri sebuah kerajaan Islam bernama Kerajaan Manila yang diperintah oleh kerabat diraja Brunei. Islam mula sampai ke Manila mulai tahun 1565. Nama Manila sendiri dikatakan berasal dari perkataan "Fi Amanillah" yang bermaksud "Dalam Perlindungan Allah". Kerajaan ini didirikan oleh Raja Matanda yang merupakan bapa saudara kepada Sultan Bolkiah, Sultan Brunei. Kerajaan ini tidak dapat bertahan lama kerana dijajah oleh Sepanyol pada tahun 1570. Pemerintah Manila ketika itu ialah Raja Sulaiman dan baginda bersama-sama orang Manila dan tentera Brunei berusaha mempertahankan Manila tetapi baginda telah syahid dalam peperangan tersebut. 

Selepas menawan Manila, Sepanyol menghancurkan semua bangunan tinggalan Islam kecuali Kubu Intramuros. Penduduk Manila telah dipaksa memeluk agama Kristian dan Sepanyol telah membina sebuah kota di Manila yang dinamakan Kota Santiago. Selepas menawan Manila, mereka berusaha menyekat pengaruh Islam di Filipina dengan menyerang Kesultanan Sulu, Maguindanao dan Brunei. 

Walaupun Manila telah ditewaskan, masih ada saki baki pejuang Manila yang berusaha memartabatkan Islam di sana seperti yang ditunjukkan dalam Konspirasi Tondo yang diketuai oleh Raja Lakandula. Raja Lakandula telah meminta bantuan Brunei untuk menentang Sepanyol. Walaupun pemberontakan ini gagal tetapi ia menunjukkan semangat penduduk Manila untuk menentang penjajahan Kristian.

Sekarang ini, Manila telah dikristiankan sepenuhnya tetapi wilayah2 selatan Filipina yang tidak berjaya dikristiankan oleh Sepanyol masih tetap berusaha untuk mewujudkan negara Islam yang merdeka dan memartabatkan kembali Islam di negara bekas jajahan Sepanyol itu.

Friday, July 1, 2011

Jihad Alam Melayu

Kawasan Kepulauan Asia Tenggara atau ketika dulu dikenali sebagai Alam Melayu atau Nusantara pernah muncul sebagai kuasa perdagangan di dunia. Tetapi pengaruh itu kian pudar apabila penjajah Eropah mula berpusu-pusu datang ke Alam Melayu, bermula daripada Portugis, Sepanyol, Belanda dan Inggeris. Kedatangan mereka ke Alam Melayu bukan seperti pedagang lain tetapi mereka datang untuk membolot kekayaan di Alam Melayu dan menyebarkan agama Kristian anutan mereka di sini.

Kesultanan Melaka ialah kesultanan pertama yang menjadi mangsa penjajah Eropah kerana Melaka ialah simbol kekayaan Alam Melayu dan simbol kekuatan Islam di Nusantara. Faktor agama menjadi sebab utama penjajah kristian seperti yang disebut oleh Tom Pires pada tahun 1515M antara lain :
"Sebenarnya Mohammad (agama Islam) akan dimusnahkan dan tidak dapat dielakkan dia akan dimusnahkan"

Faktor inilah menyebabkan ramai pihak berpendapat penjajahan di Alam Melayu adalah lanjutan darpada Perang Salib di Asia Barat. Walaupun kegemilangan perdagangan Islam telah terjejas terutama selepas kejatuhan Melaka tetapi ia tidak melumpuhkannya sama sekali malah ia telah memberi semangat kepada kesultanan2 lain untuk melindungi kuasa ekonomi Islam di Alam Melayu. Antara kesultanan yang menonjol dalam menjalankan peranan ini ialah Kesultanan Acheh.
Acheh menjadi penyambung kepada obor kuasa ekonomi Islam selepas kejatuhan Melaka dan Acheh menjadi salah satu kesultanan yang berani mencabar kedudukan Portugis di Melaka sehingga melancarkan jihad sebanyak 7 kali. Satu lagi kesultanan yang terawal menyerang Portugis di Melaka ialah Kesultanan Demak yang menyerang sebanyak dua kali. 
Kesultanan Brunei juga adalah salah satu kerajaan yang mula mencipta nama dalam dunia perdagangan selepas kejatuhan Melaka. Brunei terpaksa menghadapi penjajah Kristian yang lebih lantang dalam menjalankan misi kristianisasi mereka iaitu Sepanyol. Sepanyol mula menjajah Filipina yang merupakan wilayah naungan Kesultanan Brunei pada tahun 1570M. Sepanyol lebih berjaya menjalankan misi kristianisasi mereka apabila seluruh Filipina Utara berjaya dikristiankan.

Malah mereka juga pernah menghantar surat kepada Sultan Brunei supaya menghentikan penghantaran mubaligh untuk menyebarkan agama Islam di kepulauan Sulu. Mereka juga pernah menawan ibu kota Brunei  pada 1580 tetapi dapat bertahan selama 2 tahun sahaja selepas digempur oleh tentera Brunei yang diketuai oleh Pangeran Bendahara Sakam kerana Sepanyol telah bertindak biadap dengan membakar Masjid Jami' Brunei. Sejak itu, Sepanyol tidak pernah berani menyerang Brunei lagi walaupun permusuhan masih tetap ada.

Tanggapan bahawa penjajah berjaya menjajah Alam Melayu dengan mudah adalah satu tanggapan yang salah kerana mereka berjaya melumpuhkan kekuatan Islam di Alam Melayu secara sepenuhnya hanya selepas kejatuhan Kesultanan Johor-Riau pada tahun 1784M. Itu bermakna penjajah Eropah hanya berjaya  melumpuhkan ekonomi Islam setelah berusaha selama lebih daripada 300 tahun. Malah mereka juga tidak mendapatkan kejayaan yang besar dalam penyebaran agama Kristian melainkan beberapa tempat seperti Ambon, Flores dan Filipina Utara. Filipina Selatan pula gagal dikristiankan walaupun Sepanyol telah berusaha selama 400 tahun 

Thursday, June 30, 2011

SIAPAKAH AHLUL BAIT

Ahlul Bait ialah perkataan yang digunakan oleh umat Islam bagi merujuk kepada keluarga RASULULLAH S.A.W..Ulama tidak bersepakat siapakah yang dimaksudkan sebagai keluarga RASULULLAH S.A.W., adakah semua kerabat Rasulullah dikira sebagai Ahlul Bait atau hanya kerabat terdekat sahaja.Adakah isteri Rasulullah juga dikira Ahlul Bait atau tidak.Menurut Jumhur (kebanyakan) ulama, isteri Nabi juga dikira sebagai Ahlul Bait.Pendapat ini didasarkan kepada Hadis riwayat Muslim yang mengatakan bahawa Isteri-isteri Nabi juga ialah Ahlul Bait tetapi mereka yang diharamkan menerima sedekah(termasuk zakat) ialah keluarga Ali bin Abu Talib, Aqil, Jaafar dan Abbas bin Abdul Mutalib.Ahlul Bait menurut para ulama ialah mereka yang diharamkan oleh Allah menerima sedekah kerana kemuliaan zuriat mereka,mereka berhak menerima seperlima harta rampasan perang,tidak boleh menerima harta warisan Nabi(jika ada) dan berhak menerima selawat dari umat Islam.Zuriat Rasulullah S.A.W. berasal daripada puteri baginda, Fatimah R.A. iaitu dari cucunda baginda Saiyidina Hassan dan Asy-Syahid Saiyidina Husin.Keturunan kedua-dua cucu Rasulullah S.A.W. kemudiannya bertebaran di seluruh dunia dan ada yang menjadi pengasas dan pemerintah kepada sesebuah kerajaan.
Jika di Bumi Arab dan Afrika, antara kerajaan yang mereka didirikan ialah kerajaan Idrissiyah(Morocco),Hammudiyah(Sepanyol dan Afrika Utara),Fatimiyyah(Mesir) dan Dinasti Syarif Mekah serta Kesultanan Jordan dan Iraq.
Manakala di Alam Melayu @ Nusantara, kerajaan yang mendapat naungan keluarga Ahlul Bait pula ialah Kesultanan Johor,Terengganu,Pahang,Kedah,Selangor(dari sebelah ibu),Kelantan,Perlis,Brunei dan kebanyakan kesultanan lain.
Kebanyakan Ahlul Bait yang mengasaskan kesultanan atau menjadi pemerintah di Nusantara ialah dari cabang Saiyidina Husin R.A. yang syahid di Karbala kecuali Sultan-Sultan Brunei dan keturunan Tunku Besar Tampin,Negeri Sembilan.Ini berbeza dengan dinasti-dinasti Ahlul Bait di Arab dan Afrika yang semuanya diasaskan oleh keturunan Saiyidina Hassan R.A.Terbuktilah bahawa para Sultan yang kini bertakhta di negara Malaysia ialah dari keturunan Rasulullah S.A.W.,makhluk yang paling mulia diciptakan oleh Allah.Kita perlu bersyukur kerana Allah melimpahkan rahmatnya dengan menjadikan keturunan kekasihnya, Nabi S.A.W. sebagai raja-raja kita.Semoga Allah sentiasa melindungi Raja-Raja Malaysia.

Kenapa Sistem Pilihanraya Malaysia Perlu Dubah?

Malaysia ialah sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dan sistem raja berperlembagaan. Manakala sistem pilihanraya yang digunakan di Malaysia ialah Sistem Majoriti Mudah (Simple Majority System) seperti yang digunakan di Britain. Menurut sistem pilihanraya ini, sesiapa yang mendapat undi tertinggi akan memperoleh kemenangan tanpa mengambilkira peratusan undi yang mereka terima.

Sistem ini berbeza dengan sistem perwakilan berkadar di mana kerusi yang diperolehi oleh parti2 bertanding akan diberikan berdasarkan peratusan undi yang parti tersebut perolehi. Contohnya, jika parti tersebut memperoleh 40% undi popular, mereka akan menerima 40% kerusi dalam parlimen.
Terdapat 3 cara pengundian dalam sistem ini iaitu:
*Sistem Senarai Parti
*Sistem Campuran Ahli
*Sistem Undi Pemindahan Tunggal

Sistem pilihanraya perlu diubah kerana sistem yang diamalkan sekarang ini dirasakan kurang adil terutama bagi parti2 bertanding. Gambaran kelemahan sistem majoriti ini ialah dalam pilihanraya umum ke-12 (PRU12) pada tahun 2008. Pada PRU12, Barisan Nasional (BN) mendapat 140 kerusi  Parlimen manakala Pakatan Rakyat (PR) pula mendapat 82 kerusi dan kerajaan BN hilang majoriti 2/3 dalam Dewan Rakyat.

Undi popular BN pula ialah 51% dan PR (49%). Jika kita mengamalkan sistem perwakilan berkadar, BN hanya akan mendapat 51% kerusi sahaja di dalam Parlimen dan PR pula mendapat 49% kerusi. Oleh itu, undi yang diberikan tidak akan sia2 dan perebutan kerusi antara parti juga tidak akan berlaku.

BN tidak akan menjadi kerajaan yang stabil jika SPR menerima perwakilan berkadar sebagai sistem pilihanraya dan mereka perlu bergabung dengan parti lain untuk mendapat majoriti yang selesa. Mereka juga tidak lagi boleh meluluskan undang2 tanpa mengambilkira pendapat parti yang lain.
Sistem perwakilan berkadar juga mencerminkan undian popular yang diterima oleh parti yang bertanding. Parti2 kecil juga akan mempunyai wakil di Parlimen berbanding sistem majoriti seperti yang dapat dilihat dalam Parlimen Malaysia yang hanya dikuasai oleh BN, PAS, PKR dan DAP.

Sistem pilihanraya kita boleh diubah jika kerajaan pusat dan SPR ingin mengubahnya tetapi agak sukar untuk mengubah sistem yang sudah berakar umbi dan memberi keuntungan pula kepada pemerintah walaupun ia tidak mustahil.
Powered By Blogger